Sekapur Sirih – Pengerusi Eksekutif

Datuk Abdul Latif Mirasa

Segala puji bagi Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Allah, Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarganya dan para sahabat.
Islam merupakan agama yang unggul dengan risalah terakhirnya, al-Qur’an yang telah diturunkan oleh Allah kepada umat manusia. Ajarannya telah berjaya menarik jutaan manusia sejak 1400 tahun yang lalu. Umat Islam ternyata membentuk keunikan agama tersebut iaitu apabila mereka mengasaskan bidang kesenian yang menakjubkan dalam sejarah dunia. Gaya kesenian Islam terserlah melalui sesuatu ciri yang baru dan kualiti teknik yang menakjubkan serta digunakan untuk menghasilkan pelbagai bentuk karya seni.
Menyedari kepentingan kesenian Islam dan keperluan untuk melestarikannya, maka Yayasan Restu ditubuhkan untuk menghidupkan semula kesenian Islam di rantau Asia Tenggara dan juga bahagian-bahagian lain di dunia serta memberi pendidikan tentang kesenian itu dan menyebarkan teknik-tekniknya ke serata dunia.
Dengan pertolongan Allah, Yayasan Restu telah dapat mencapai lebih daripada apa yang diharapkan dan mampu mencipta pelbagai produk perkhidmatan yang mengandungi pelbagai unsur kesenian Islam.

Yayasan Restu telah pun menghasilkan sepuluh buah mushaf al-Qur’an yang disalin khas, dihias dan diwarnakan serta ribuan produk lain yang berkaitan dengan pembudayaan al-Qur’an dan al-Sunnah.
Yayasan Restu berharap dapat mewujudkan hubungan kebudayaan dan juga pendidikan dengan negara-negara dan pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain.
Kami menyambut baik segala bentuk usaha dan kerjasama dari serata dunia untuk menyebarkan perutusan tentang keindahan yang terdapat dalam pelbagai bidang kesenian Islam.


Terima kasih.


Datuk Abdul Latiff Mirasa
Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu