History Yayasan Restu

Yayasan Restu

OASIS KEINDAHAN, ZON KREATIVITI & TERKINI

Yayasan Restu merupakan Pusat Kesenian Islam bermula dengan projek penyalinan mushaf al-Qur’an pertama Malaysia dan perkembangan seni Islam supaya ianya terpelihara dan tidak pupus. Ia ditubuhkan pada tahun 1987 dan sejak daripada itu, Yayasan Restu telah berkembang pesat dengan produk-produk yang mempunyai ciri unik dan tersendiri.

Yayasan ini bertapak di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam. Ia telah menyertai banyak pameran dan menerima anugerah serta pengiktirafan di dalam dan luar negara.

Yayasan ini juga terkenal dengan penghasilan mushaf al-Qur’an dan penerbitan berkaitan al-Qur’an dengan reka bentuk eksklusif. Ia juga dikenali sebagai pusat seni warisan Islam,seni kaligrafi, reka bentuk motif budaya kebangsaan serta pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk al-Qur’an dan al-Hadis.

Yayasan ini telah menjadi pusat rujukan untuk manuskrip, warna dan reka bentuk Islam serta pusat cenderahati dan kraf Islam. Yayasan ini telah membawa gaya yang unik dalam memelihara seni mushaf dengan menghasilkan pelbagai jenis mushaf tulisan tangan yang dihias penuh; disertai terjemahan dalam pelbagai bahasa. Tugas-tugas penyelidikan dan pembangunan yang terperinci dilakukan sebelum sebarang kerja lain dilaksanakan. Pusat kesenian ini mempunyai lebih daripada 11 jabatan yang masing-masing menghasilkan produk yang menggabungkan unsur-unsur kesenian Islam.

Antara produk Yayasan Restu ialah: karya kaligrafi, hiasan berwarna pada helaian dan manuskrip, jubin, hiasan dalaman, bahan pengiklanan, faksimili mushaf lama, perisian Islam, dan banyak lagi. Galeri cenderahati adalah tempat terbaik untuk membeli produk seni Islam Yayasan Restu.


Program Diploma Seni Mushaf di Kolej Antarabangsa Restu menyediakan latihan kesenian Islam untuk pelajar tempatan dan antarabangsa.Melalui kerja keras dan dedikasi, Yayasan Restu telah berjaya menghasilkan Mushaf Malaysia,

Al-Qur’an Nur Fatimah, Mushaf Al-Qur’an dan terjemahan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Hausa (Nigeria) , Khmer, Mandarin, Kazak, Mushaf Mahasin al-Huffaz, dan banyak lagi